Subscribe Us

Header Ads

Pemandu sekolah asrama penuh mengaku ramas payudara murid Tingkatan 3


KUCHING: Pemandu yang bertugas di sebuah sekolah berasrama penuh yang terlibat kes ramas payudara remaja sekolah berusia 15 tahun mengaku bersalah atas tuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Hakim Afidah Abdul Rahman menetapkan 12 Mei bagi sebutan semula kes memandangkan tertuduh, Zolhaji Bin Mohamad, 47, seorang penjawat awam. 

Ini berikutan pengakuan tertuduh semasa prosiding yang memaklumkan dia adalah seorang penjawat awam kepada mahkamah. 

Mengikut kod spesifik diperuntukkan di mahkamah bagi kes jenayah membabitkan penjawat awam, mahkamah juga perlu memaklumkan kepada ketua ataupun pihak atasan seseorang penjawat awam berkenaan sekiranya mereka terlibat dalam sesuatu kes jenayah di mahkamah. 

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi kes ini dan tertuduh direman lanjut sementara menunggu tarikh tersebut. 

Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa untuk tujuan seksual dengan cara menyentuh payudara mangsa. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu kejadian di hadapan sebuah rumah di Jalan Matang, Depo Link, di sini sekitar jam 1.18 petang pada 14 April lalu. 

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat. 

Sebelum ini, media melaporkan kejadian itu yang berlaku ketika mangsa baru balik dari sekolah dan sedang berjalan kaki menuju ke rumahnya di Jalan Matang, 

Tertuduh dikatakan sedang menunggang sebuah motosikal datang ke arah mangsa secara tiba-tiba dan berpura-pura hendak bertanyakan sesuatu kepada mangsa. Dia seterusnya bertindak meraba bahagian dada mangsa sebelum melarikan diri. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Post a Comment

0 Comments